Bincangkan ciri-ciri masyarakat Zaman Pra sejarah Awal dan Pra sejarah Akhir


SOALAN: Zaman manusia belum mengerti sistem tulisan dikenali sebagai Zaman Pra Sejarah. Bincangkan ciri-ciri masyarakat Zaman Pra sejarah Awal dan Pra sejarah Akhir.
Pendahuluan
1. Zaman prasejarah dikatakan sebagai sebahagian masa silam manusia yang tidak dicatatkan dalam bentuk tulisan iaitu sebelum sejarah ataupun sejarah silam manusia sebelum wujudnya rekod-rekod bertulis. Bukti-bukti zaman prasejarah diperolehi melalui kajian terhadap artifak dan fosil-fosil yang dilakukan oleh ahli-ahli arkeologi.
2. Zaman Prasejarah terbahagi kepada 2 iaitu Zaman Prasejarah Awal dan zaman Prasejarah Akhir. Zaman Paleolitik merupakan zaman prasejarah awal manakala zaman Neolitik adalah zaman prasejarah akhir. Zaman Paleolitik dikatakan bermula sekitar tahun 500,000 SM hingga 10000 SM dan dibahagikan kepada dua iaitu Zaman Paleolitik Awal dan Zaman Paleolitik Akhir. Zaman Neolitik pula dianggarkan bermula sekitar tahun 7000 SM dan berakhir pada 3500 SM setelah munculnya Tamadun Mesopotamia di Lembah Sungai Tigris dan Euphrates.

Ciri-ciri Zaman Pra Sejarah
1. Tempat Tinggal / Petempatan
Paleolitik
Masyarakat zaman Paleolitik hidup secara berpindah randah atau nomad dan bergantung hidup kepada sumber-sumber alam sekitar. Mereka tinggal di dalam gua, lubang bawah tanah dan pondok-pondok yang mereka bina daripada ranting-ranting kayu. Sebagai contohnya, penempatan masyarakat Paleolitik terletak di Gua Niah ( Sarawak ), Kota Tampan ( Perak ) dan Gua Tingkayu ( Sabah )
Neolitik
Berbeza dengan petempatan masyarakat Neolitik pula mereka tinggal secara tetap di kampung-kampung berhampiran dengan lembah-lembah sungai yang subur dan menjalankan aktiviti bercucuk tanam dan menternak binatang. Masyarakat zaman Neolitik ini sudah pandai membina rumah daripada tanah liat dan pondok-pondok daripada ranting-ranting kayu Perkembangan petempatan ini melahirkan perkampungan sebagai contoh Gua Gomantong ( Sabah ) dan Jenderam Hilir ( Selangor )
2. Kegiatan Ekonomi Utama
Paleolitik
Masyarakat zaman Paleolitik adalah merupakan pengguna kepada sumber-sumber alam sekitar. Mereka hidup secara nomad dan mengembara untuk mencari makanan. Dalam hal ini, mereka menjalankan aktiviti mengutip hasil hutan, memburu binatang dan menangkap ikan. Mereka memburu dalam kumpulan kecil hasil buruan akan dikongsi bersama. Secara umumnya, mereka adalah merupakan parasit persekitaran dan menjalankan sistem ekonomi bercorak saradiri.
Neolitik
Dalam aspek kegiatan ekonomi, masyarakat Neolitik pula telah mengalami perubahan yang amat ketara jika dibandingkan dengan masyarakat zaman Paleolitik. Mereka bukan lagi sebagai pengguna kepada alam sekitar tetapi telah berubah kepada pengeluar makanan. Dalam hal ini, mereka telah mula menjalankan aktiviti pertanian seperti bercucuk tanam dan menternak binatang. Kehidupan secara nomad telah berhenti dan mereka telah mula hidup secara menetap di kampung-kampung berhampiran dengan lembah-lembah sungai utama. Tercetusnya revolusi pertanian telah menyebabkan berlakunya lebihan dalam hasil-hasil pertanian dan ini telah menyebabkan munculnya aktiviti perdagangan yang berkonsepkan sistem barter. Perkembangan sistem perdagangan telah menyebabkan berlakunya hubungan dengan masyarakat luar dan ini telah menyebabkan berlakunya pertukaran dan perkembangan idea dan teknologi baru

3. Teknologi peralatan
Paleolitik
Masyarakat pada zaman Paleolitik mempunyai kemahiran dalam membuat peralatan daripada batu, kayu dan tulang-tulang haiwan. Sebagai contohnya, kapak genggam atau flaked tools digunakan untuk pelbagai tujuan dan berfungsi sebagai pisau, gergaji dan kapak. Alat-alat batu ini digunakan untuk memburu, mengutip hasil hutan, senjata dan mungkin sebagai perhiasan. Peralatan pada zaman ini adalah ringkas dan kasar dari segi pembuatannya. Kaedah yang mereka gunakan adalah secara merepih. Fungsi peralatan batu ini adalah terhad sesuai dengan tahap teknologi masyarakat pada zaman itu yang masih lagi rendah atau primitif.
Neolitik
Berbeza dengan teknologi peralatan dalam masyarakat zaman Neolitik yang telah mengalami perubahan yang ketara. Mereka telah mempunyai kemahiran dalam menghasilkan peralatan daripada batu yang lebih halus dan kompleks. Masyarakat zaman ini telah mampu membuat pelbagai alat yang terdiri daripada sabit, cangkul dan tenggala daripada batu yang mempunyai nilai-nilai teknologi dan estetika yang lebih tinggi daripada zaman sebelumnya. Penciptaan roda contohnya, telah memaju dan meningkatkan pengeluaran hasil makanan dan memudahkan urusan harian. Teknologi pembuatan tembikar pula telah menandakan satu gejala perubahan baru dalam kehidupan masyarakat dan alatan ini digunakan untuk menyimpan bijirin, makanan, air dan memasak. Di samping itu, penemuan dan penggunaan layar telah menyebabkan aktiviti perdagangan dapat dimajukan dan berkembang dengan pesat.
4. Organisasi sosial
Paleolitik
Masyarakat zaman Paleolitik belum lagi mempunyai organisasi sosial. Hal ini disebabkan mereka masih lagi hidup dalam keadaan nomad dan mengembara. Bagi memenuhi keperluan ekonomi, mereka berada dalam kelompok kecil yang terdiri daripada gabungan beberapa keluarga asas.
Neolitik
Berbeza dengan masyarakat zaman Neolitik yang tellah mula membentuk organisasi sosial yang mudah. Kesan daripada Revolusi Pertanian telah menyebabkan masyarakat pada zaman ini mula hidup secara menetap dan bilangan penduduk di sesuatu kawasan telah semakin ramai. Dalam hal ini, telah wujud ketua keluarga dalam setiap rumah dan di peringkat kampung telah diadakan jawatan ketua kampung yang berperanan menjaga ketenteraman dan keamanan kampung serta menyelesaikan masalah yang berkaitan dengan kegiatan pertanian dan sebagainya. Kewujudan pengkhususan kerja pada zaman ini telah memulakan pembentukan masyarakat kelas atasan dan bawahan.
5. Agama dan kepercayaan
Paleolitik
Masyarakat berkebudayaan Paleolitik mempunyai dan mengamalkan kepercayaan berunsurkan animisme. Dalam hal ini mereka beranggapan semua benda terutamanya alam sekitar mempunyai kuasa dan roh. Oleh itu, mereka cukup takut kepada petir dan kilat dan berpendapat unsur-unsur alam ini mampu mempengaruhi kehidupan mereka. Lantaran itu, mereka mula menyembah dan cuba berdamai dengan unsur-unsur alam atau animisme ini.
Neolitik
Manakala agama dan kepercayaan masyarakat zaman Neolitik mula berubah dan berkembang maju. Dalam hal ini, masyarakat zaman Neolitik mula belajar untuk menguasai alam sekeliling terutamanya unsur-unsur alam sekitar. Perbagai amalan atau upacara ritual telah diadakan dan yang pentingnya ialah mereka dapat berdamai dengan alam sekitar bagi mengelakkan bencana alam seperti banjir dan kemarau serta wabak penyakit. Sebagai contohnya, mereka menjalankan upacara penyembahan dewa-dewi bagi menjamin kelangsungan bekalan makanan dan supaya hasil pertanian yang mereka usahakan akan bertambah berlipat kali ganda. Mereka juga mula tahu bagaimana untuk menguruskan mayat saudara mara mereka yang telah meninggal dunia. Mayat-mayat dikendalikan dengan teliti dan dikebumikan dengan sempurna. Hal ini menunjukkan bahawa masyarakat zaman Neolitik telah mula maju dalam aspek kepercayaan dan turut memberikan sumbangan dan kesan kepada kepercayaan zaman tamadun-tamadun awal yang bercorak politiesme.
6. Kesenian / kebudayaan
Paleolitik
Ciri-ciri masyarakat zaman Paleolitik seterusnya adalah keseniaan dan kebudayaan. Masyarakat zaman Paleolitik mengamalkan kesenian bercorak idealisme. Dalam hal ini, Mereka mula mempunyai kemahiran melakar ukiran, melukis dan menghasilkan mural. Lukisan atau lakaran yang mereka hasilkan di dinding-dinding gua dan kulit-kulit pokok adalah gambar-gambar yang datangnya daripada binatang-binatang buruan mereka seperti rusa, harimau dan gajah. Bentuk-bentuk kesenian yang diamalkan oleh masyarakat zaman Paleolitik ini adalah berkaitan dengan kehidupan mereka sehari-hari. Ringkasnya, seni Paleolitik adalah berdasarkan realisme yang mereka lihat dan alami sendiri.
Neolitik
Kesenian zaman Neolitik adalah berbeza sekali dengan zaman Paleolitik. Ini dapat dibuktikan dengan kesenian pada zaman Neolitik yang bercorak simbolisme serta mempunyai unsur-unsur abstrak. Hal ini dapat dilihat dan ditunjukkan pada permukaan tembikar-tembikar yang dihias dengan pola-pola geometrik dan simbolik dan ini menunjukkan satu gejala baru yang memperlihat pemikiran masyarakat ini yang semakin maju dan mula berdasarkan pemikiran konseptual.
7 Corak hidup
Paleolitik
Masyarakat Paleolitik mengamalkan corak hidup nomad atau berpindah randah. Hal ini adalah untuk memenuhi keperluan ekonomi melalui aktiviti memburu, mengutip hasil hutan dan menangkap ikan secara berkumpulan. Oleh kerana mereka menjalankan kehidupan yang mudah dan simple maka mereka tiada barang-barang perhiasan dan tidak mempunyai memiliki harta. Sebagai buktinya, mereka hanya tinggal di gua-gua dan hanya bergantung sepenuhnya kepada sumber-sumber alam sekitar
Neolitik
Perubahan yang ketara dalam aspek corak hidup telah mula berlaku pada zaman Neolitik. Kesan daripada perkembangan revolusi pertanian, masyarakat Neolitik sudah mula hidup secara lebih selesa dengan memiliki harta benda. Sebagai buktinya, mereka mula memiliki tanah-tanah pertanian dan juga binatang-binatang ternakan bagi memastikan bekalan makanan mereka tidak terputus. Bagi memastikan keselamatan mereka, mereka sudah mula mencipta senjata-senjata seperti kapak dan pisau untuk mempertahankan diri. Perkembangan yang amat ketara dalam corak hidup mereka ialah mereka mula tinggal di rumah-rumah yang mereka bina daripada tanah liat di lembah-lembah sungai dan golongan wanita terutamanya, mula memakai barang-barang perhiasan seperti gelang, subang dan rantai bagi tujuan kecantikan dan keagamaan.
8. Pengkhususan pekerjaan
Paleolitik
Masyarakat zaman Paleolitik tidak mempunyai pengkhususan kerja. Semua pekerjaan dilakukan sendiri oleh mereka secara bersama-sama dalam kumpulan kecil. Jumlah mereka yang sedikit dan sering berpindah randah menyebabkan pengkhususan pekerjaan tidak wujud dan tidak praktikal.
Neolitik
Berbeza dengan masyarakat zaman Neolitik yang telah mula mempunyai pengkhususan kerja. Hal ini dapat dibuktikan, dengan wujudnya pengkhususan pekerjaan berdasarkan perbezaan peranan yang dimainkan oleh golongan lelaki dan wanita. Golongan lelaki menjalankan aktiviti yang memerlukan tenaga yang kuat seperti mengusahakan ladang-ladang pertanian manakala golongan wanita menguruskan urusan rumahtangga dan kerja-kerja yang mudah. Perkembangan Revolusi Pertanian juga telah menyebabkan perkembangan dalam aspek pengkhususan pekerjaan di mana telah lahir golongan petani yang menjalankan aktiviti bercucuk tanam dan menternak binatang serta golongan artisan yang mempunyai kemahiran membina rumah dan membuat peralatan-peralatan senjata dan pertanian.
9. Institusi Politik
Paleolitik
Tidak wujud institusi politik pada zaman Paleolitik.
Neolitik
Kemajuan dalam bidang pertanian telah menyebabkan munculnya institusi politik kerana sistem pentadbiran yang teratur bagi mengawasi kerja-kerja pembinaan empangan, terusan atau tali air. Dalam hal ini, ketua-ketua dilantik untuk mengarahkan kerja-kerja pembinaan dan penyelenggaraan terusan dan tali air di samping berperanan untuk menyelesaikan masalah yang berkaitan dengan  pertanian dan pertikaian mengenai hak milik tanah. Perkembangan inimenyebabkan mula munculnya sistem pentadbiran yang bertujuan untuk menyelesaikan hak-hak masyarakat yang semakin kompleks, menjamin pengagihan yang lebih seimbang dan mewujudkan kawalan dan keselamatan sosial dari ancaman musuh.

Kesimpulan
Berdasarkan huraian di atas, jelas ternyata bahawa masyarakat zaman prasejarah telah mengalami satu kemajuan yang pesat dalam pelbagai aspek kehidupan mereka. Bermula dengan masyarakat Paleolitik , yang merupakan masyarakat pengguna alam sekitar kepada masyarakat pengeluar makanan yang lebih maju pada zaman Neolitik. Perkembangan Revolusi Pertanian telah mengubah hidup masyarakat pada zaman Neolitik ke arah hidup yang lebih kreatif dan inovatif. Hal ini dapat dibuktikan dengan kemajuan yang dicapai oleh masyarakat ini dalam aspek sosial, ekonomi, politik dan sebagainya sehingga menjadi asas kepada kemunculan tamadun-tamadun awal manusia di Mesopotamia, Mesir, Mohenjo-Daro & Harappa dan Hwang Ho.

Comments

Anonymous said…
tq.byk membantu.lol
Anonymous said…
prkngsian yg byk membantu.
boleh tak nk copy?
Anonymous said…
terlalu bnyk tapi sye ni nak perbandingan peranan peralatan pada zaman prasejarah dan masa kini
Anonymous said…
terima kasih atas maklumat yang diberi. sangat mudah difahami dan teratur.

Popular posts from this blog

Bincangkan faktor-faktor campurtangan British di Perak dan Selangor

Bincangkan sistem sosial masyarakat tradisional di Thailand dan Vietnam sebelum campurtangan Barat .