British telah mengamalkan dasar tidak campur tangan dalam hal ehwal negeri-negeri Melayu sehingga tahun 1874. Bincangkan pernyataan tersebut.


British mengamalkan dasar tidak campur tangan dalam hal ehwal negeri-negeri Melayu sehingga tahun 1874. Namun demikian, dasar British terhadap negeri-negeri Melayu telah berubah menjelang tahun 1874. Oleh itu, British telah berusaha untuk campur tangan secara langsung di negeri-negeri Melayu pada akhir abad ke-19. British menggunakan pelbagai alasan untuk campur tangan dalam pentadbiran di Tanah Melayu. Setelah berjaya menguasai kerajaan-kerajaan negeri Melayu, British telah memperkenalkan pelbagai dasar yang bertujuan untuk mengukuhkan kedudukan mereka. Pengenaan sistem residen merupakan langkah yang telah digunakan oleh British untuk menstabilkan kedudukan mereka di Tanah Melayu. Terdapat beberapa faktor yang menyebabkan British campur tangan dalam pentadbiran negeri-negeri Melayu.

Antara faktornya ialah faktor ekonomi. Apabila revolusi perindustrian berkembang di Eropah pada kurun ke-19, bekalan bahan mentah terutamanya bijih timah diperlukan dengan banyaknya bagi pengeluaran barangan kilang. Bijih timah amat diperlukan untuk perusahaan mengetin makanan. Bagi mendapat bekalan bijih timah secara berterusan, British memerlukan tanah jajahan baru yang kaya dengan sumber-sumber tersebut, terutamanya setelah monopoli perdagangan dengan China tamat pada tahun 1833. British mendapati negeri-negeri Melayu seperti Perak, Selangor, dan Negeri Sembilan kaya dengan bijih timah. 
Selain daripada itu, British memerlukan tanah jajahan baru untuk dijadikan pasaran bagi mengedarkan barangan siap keluaran Britain. Oleh sebab Tanah Melayu kaya dengan bijih timah, terdapat banyak pemodal-pemodal Eropah yang melabur modol untuk memajukan kawasan perlombongan di Larut, Sungai Ujong, dan Lukut. Syarikat-syarikat British yang berjaya mendapat konsensi perlombongan seperti Syarikat Patterson, Simon & Company di Kuantan; Syarikat Bijih Timah Sungai Ujong di Negeri Sembilan; dan W.Mansfield dan Rakan-Rakan di Singapura.
Pedagang dan pelabur British telah mendesak kerajaan British segera campur tangan di negeri-negeri Melayu untuk menamatkan huru-hara yang menyebabkan kegiatan perdagangan mereka terjejas. Selain daripada itu, keselamatan pedagang-pedagang juga tidak terjamin kerana sering kali berlaku pembunuhan, rampasan, dan pembakaran di negeri-negeri Melayu yang terlibat.
Campur tangan British di Tanah Melayu juga disebabkan oleh faktor politik. Negeri-negeri Melayu seperti Perak, Selangor, Negeri Sembilan dan Pahang berada dalam keadaan tidak stabil kerana huru-hara yang disebabkan oleh perebutan takhta antara pewaris-pewaris sultan seperti perebutan antara Raja Abdullah dan Raja Ismail di Perak. Selain itu, perebutan kuasa antara pembesar-pembesar Melayu ke atas kawasan yang kaya dengan bijih timah turut menyumbangkan kepada berlakunya keadaan huru-hara. Contohnya perebutan kuasa antara Raja Abdullah dan Raja Mahadi di Selangor dan antara Dato’ Kelana dan Dato’ Bandar di Sungai Ujong.
Tambahan lagi, pergaduhan antara kongsi gelap juga merupakan faktor berlakunya huru-hara di negeri-negeri Melayu. Pergaduhan kongsi gelap Cina Ghee Hin dan Hai San berlaku kerana berebut kawasan yang kaya dengan bijih timah seperti di Perak, Sungai Ujong, dan Selangor. Pergaduhan antara kongsi gelap bertambah hebat apabila pembesar-pembesar Melayu menyokong kongsi gelap tersebut. Selain itu, keadaan huru-hara juga berlaku apabila serangan lanun terhadap kapal-kapal dagang yang berlayar di perairan Selat Melaka.
Keadaan huru-hara ini menimbulkan kebimbangan British kerana menggangu kegiatan melombong bijih timah. Kegiatan melombong bijih timah hampir terhenti dan ini merugikan syarikat-syarikat British yang melabur modal di negeri-negeri Melayu. Selain itu, keadaan huru-hara turut merumitkan perdagangan Negeri-Negeri Selat (NNS) dan negeri-negeri Melayu. Keadaan anarki juga mengancam keselamatan pelabur dan konsensi-konsensi syarikat British di negeri-negeri Melayu dan turut memberi peluang kepada kuasa asing yang lain seperti Jerman untuk campur tangan di negeri-negeri Melayu atas jemputan pembesar-pembesar yang bertelingkah.British berasa perlu campur tangan di negeri-negeri Melayu untuk menamatkan huru-hara yang berlaku bagi menjamin kepentingan kedudukan dan perdagangan mereka.
British segera campur tangan dalam pentadbiran Tanah Melayu kerana bimbang campur tangan kuasa asing yang lain. Pada tahun 1870-an, muncul negara-negara imperialisme lain seperti Perancis, Jerman,Itali, dan Amerika Syarikat. Negara-negara ini berusaha untuk mencari tanah jajahan yang dapat membekalkan bahan mentah dan pasaran bagi barang-barang keluaran mereka.
Pada tahun 1869, Terusan Suez yang dibuka menghubungkan Laut Mediterranean dan Laut Merah telah memendekkan jarak perjalanan dari Eropah ke Asia. Hal ini telah menambah minat kuasa asing untuk meluaskan kuasa di Asia kerana jarak dan masa yang singkat. Kuasa Barat tertarik dan berminat terhadap negeri-negeri Melayu kerana kekayaan sumber aslinya. Menjelang tahun 1870-an, Jerman menunjukkan minat yang mendalam untuk menguasai Pulau Langkawi untuk menjadikan pangkalan tentera mereka. Malah, pedagang-pedagang Jerman di Singapura berminat untuk melabur di negeri-negeri Melayu. Kepentingan politik dan ekonomi British akan terancam sekiranya Jerman berjaya menguasai Pulau Langkawi. British perlu campur tangan di negeri-negeri Melayu untuk menjaga kepentingannya.
Selain daripada itu, British campur tangan di Tanah Melayu juga disebabkan perubahan dasar kerajaan. Sebelum tahun 1871, Parti Liberal yang menerajui pemerintahan England bersifat Anti-Imperialisme dan enggan campur tangan di negeri-negeri Melayu walaupun didesak oleh saudagar British di NNS. Pada tahun 1873, parti Konservatif di bawah pimpinan Disreali berjaya menerajui kerajaan di Britain telah menyokong sepenuh dasar campur tangan di negeri-negeri Melayu untuk memelihara kepentingan mereka. Pegawai-pegawai British di bawah pimpinan kerajaan Disreali seperti Lord Kimberly dan Andrew Clarke menyokong kuat dasar imperialisme British.
Faktor campur tangan British di Tanah Melayu juga memperlihatkan faktor sosial. Menurut Frank Swettenham, British campur tangan di negeri-negeri Melayu adalah atas sebab kemanusiaan. Menurutnya lagi, adalah menjadi tanggungjawab British sebagai satu kuasa yang superior dan bertamandun untuk menamatkan kekacauan di negeri-negeri Melayu. Selain itu, peranan Andrew Clarke yang melampaui batasan tugas. Andrew Clarke yang merupakan Gabenor NNS yang baru pada September 1873 diarahkan untuk menyiasat dan membuat laporan tentang keadaan di negeri-negeri Melayu serta mengesyorkan langkah-langkah yang perlu diambil oleh British untuk memulihkan keamanan di negeri-negeri Melayu. Andrew Clarke telah bertindak mendahului arahan yang diberikan oleh Lord Kimberly dengan mencampuri urusan dalam pertelingkahan politik di negeri-negeri Melayu sebelum diarahkan oleh Pejabat Tanah Jajahan British. Campur tangan British di Tanah Melayu yang bermula pada tahun 1874 lebih berkait rapat dengan kepentingan ekonomi dan perdagangan kebimbangan terhadap kuasa asing yang boleh menggugat kepentingan ekonomi mereka berbanding dengan sebab-sebab kemanusiaan.

Kesimpulannya, campur tangan British secara langsung terhadap negeri-negeri Melayu telah mengakibatkan sistem politik dan ekonomi tempatan mengalami perubahan yang ketara. Malahan pihak British telah berjaya menguasai ekonomi tempatan. Tujuan utama British campur tangan di Tanah Melayu adalah untuk menguasai sumber ekonomi. British turut membangunkan infrastruktur di Tanah Melayu seperti jalan raya. Walaubagaimanapun campur tangan British telah menyebabkan timbul rasa tidak puas hati penduduk tempatan terutamanya golongan pemerintah yang kehilangan hak dan kepentingan di Tanah Melayu.

Comments

Unknown said…
thxxx...tpi xleh copy ler...uhuhu

Popular posts from this blog

Bincangkan faktor-faktor campurtangan British di Perak dan Selangor

Bincangkan ciri-ciri masyarakat Zaman Pra sejarah Awal dan Pra sejarah Akhir

Bincangkan sistem sosial masyarakat tradisional di Thailand dan Vietnam sebelum campurtangan Barat .