PERANAN MUHAJIRIN DAN ANSAR


Jelaskan peranan golongan Ansar dan Muhajirin dalam perkembangan Islam pada zaman Nabi Muhammad s.a.w.
PENDAHULUAN: ( 3 Markah )
1. Umat Islam yang dipimpin oleh Nabi Muhammad di Madinah terdiri daripada 2 golongan iaitu golongan Muhajirin dan golongan Ansar. Mereka menyokong perjuangan Nabi dan membantu baginda untuk mempertahankan dan mengembangkan ajaran Islam sepanjang zaman baginda.
2. Golongan Muhajirin - Merupakan penduduk asal kota Makkah dan dikenali sebagai orang Quraisy. Golongan yang terawal menerima dan memeluk Islam. Kemudian berhijrah kerana penentangan oleh orang musyrikin Makkah. Di Madinah mereka ini digelar orang Muhajirin.Istilah Muhajirin berasal daripada perkataan hijrah.
3. Golongan Ansar - Penduduk asal Madinah yang terdiri daripada suku Aus dan Khazraj yang telah memeluk Islam hasil pertemuan mereka dengan Rasulullah di Mekah melalui perjanjian Aqabah 1 dan Aqabah 2 . Apabila berjumpa dengan Rasulullah yang kemudiannya menyatakan kesediaan menerima, dan mempertahankan Islam di samping mempelawa Rasulullah dan orang Muhajirin berhijrah ke Madinah dan bersedia menjadikan Rasulullah pemimpin mereka.
ISI:
Peranan golongan Ansar dan Muhajirin dalam perkembangan Islam pada zaman Nabi Muhammad s.a.w ( 7 Isi X 3 Markah = 21 Markah )
1. Peranan Golongan Muhajirin
Peranan di Makkah :
a. Menerima dan mempertahankan agama Islam
Ø Semasa berada di Makkah merekalah golongan umat Islam yang pertama menerima dan mempertahankan keutuhan agama Islam yang baru disampaikan oleh Nabi Muhammad melalui kekuatan iman. Merekalah yang mula-mula melafazkan kesetiaan terhadap Islam dan bersama-sama berjuang dengan Nabi Muhammad.
Ø Tokoh-tokoh seperti Abu Bakar al-Siddiq, Zubair bin al-Awwam, Uthman bin Affan, Ali bin Ali Talib, Zaid bin Harithah, Abdul Rahman bin Auf, al-Arqam bin Abi al-Arqam, dan lain-lain adalah pendukung Islam pada peringkat awal ketika dakwah dilakukan secara sulit. Kemudian selepas pengislaman Umar al-Khattab mereka berani melakukan dakwah secara terbuka. Mereka semuanya datang menemui Nabi untuk memeluk Islam. Mereka bukan sahaja terdiri daripada orang miskin tetapi termasuk juga golongan hartawan dan para pembesar Quraisy seperti Abu Bakar dan Uthman.
b. Sanggup menghadapi rintangan dan penentangan
Ø Mereka sanggup menghadapi segala rintangan dan penentangan yang sangat hebat daripada kaum Musyrikin Makkah sama ada secara fizikal atau pun mental.
Ø Mereka menerima pelbagai ejekan, penghinaan, kata nista, penyiksaan dan pembunuhan. Keimanan mereka sukar digugat dan mereka tetap tabah bagi memastikan Islam terus berkembang. Contohnya keluarga Ammar b Yassir yang mati dibunuh dan penyiksaan teruk ke atas Bilal bin Rabah.
c. Sanggup berkorban nyawa dan harta
Ø Mereka banyak menyumbang harta benda dalam membantu perjuangan Nabi seperti sahabat-sahabat Nabi yang kaya. Contohnya Abu Bakar, Umar dan Uthman. Antara yang mereka banyak lakukan ialah membeli hamba-hamba yang menganut Islam yang diseksa oleh tuannya supaya dapat dibebaskan. Contoh : Sayyidina Abu Bakar telah membebaskan Bilal bin Rabah dari tuannya yang kejam bernama Umayyah bin Khalaf.
Ø Al-Arqam bin Abi al-Arqam pula sanggup menyediakan rumahnya sebagai markas dakwah Islam yang pertama selepas rumah Nabi Muhammad.Nabi dan para sahabatnya bermesyuarat di situ bagi membincangkan kedudukan dan cara-cara untuk menyebarkan Islam dengan cara yang lebih berkesan.
Ø Sanggup berkorban dan melindungi diri Nabi Muhammad daripada diancam atau diapa-apakan oleh orang musyrikin Mekah. Contohnya Saidina Ali yang telah tidur ditempat tidur Nabi Muhammad pada malam peristiwa hijrah dan Abu Bakar yang sentiasa menemani Nabi Muhammad sewaktu Hijrah..
d. Menjalankan usaha dakwah
Ø Sahabat-sahabat Nabi turut membantu mengembangkan Islam secara sembunyi dan terbuka sepanjang zaman Makkiah.
Ø Mereka menyeru kepada kaum keluarga, sahabat handai dan penduduk Makkah yang lain ke arah agama yang benar.Pada peringkat awal seruan Islam Abu Bakar berjaya mengislamkan Abdul Rahman bin Auf, Uthman bin Affan, Talhah, Zubair bin al-Awwam, Saad Abi Waqas, Abu Ubaidah al-Jarrah dan al-Arqam bin al-Abi Arqam.
Ø Selepas tiga tahun berdakwah secara sulit dan melahirkan kaum Muslimin yang benar-benar beriman, maka barulah dakwah terang-terangan dilakukan. Bermula dari sinilah usaha umat Islam Makkah penuh cabaran kerana usaha dakwah ditentang kuat oleh musyrikin Makkah.
e. Berhijrah ke Madinah
Ø Mereka sanggup meninggalkan Makkah dan segala kekayaan yang dimiliki semata-mata mengikut Nabi berhijrah ke Madinah. Ini ternyata satu pengorbanan yang amat besar ke atas nilai keimanan umat Islam di Makkah.
Ø Sanggup meninggalkan kampung halaman, harta benda ,keluarga dan sebagainya demi cintakan Allah dan Rasulnya. Contohnya : Orang pertama yang berhijrah ialah Abu Salamah bin Abdul Asad, kemudian diikuti pula oleh Amir b. Rabiah dan isterinya.
Ø Pada peringkat awal seramai 70 orang Islam dari kota Makkah (Muhajirin) berketurunan Quraisy berhijrah ke Madinah.
Peranan di Madinah
a. Membantu Nabi Muhammad dalam hal keagamaan dan pentadbiran.
Ø Golongan ini merupakan pembantu Nabi dalam usaha baginda memimpin umat Islam Madinah dalam soal-soal keagamaan dan pemerintahan. Contohnya selepas peristiwa Aqabah 1, Nabi Muhammad mengutus Mus’ab bin Umair sebagai guru agama dan pendakwah untuk membantu penduduk Madinah untuk mendalami Islam. Misi Mus’ab ke Madinah telah mencapai kejayaan yang besar.
Ø Golongan Muhajirin juga berperanan besar dalam mengembangkan dakwah Islam di Madinah. Mereka bersama sahabat Nabi Muhammad yang lain dapat menjalan kegiatan dakwah dengan terbuka dan mendaulatkan Islam di Madinah. Umat Islam berjaya mendirikan Masjid di tengah-tengah kota Madinah dan dapat melakukan amal ibadat secara terbuka yang tidak dapat dilakukan sewaktu mereka berada di Makkah.
b. Mengukuhkan ketenteraan Islam
Ø Setelah berhijrah ke Madinah golongan Muhajirin telah menjadi sebahagian besar daripada tokoh-tokoh pahlawan terbilang yang menjadi tunggak kekuatan tentera Islam dalam menghadapi serangan musuh. Tokoh-tokoh tersebut seperti Umar al Khattab, Hamzah b Abdul Muttalib, Ali b Abi Talib dan lain-lain.
2. Peranan Golongan Ansar
Peranan di Makkah
a. Menyokong, menjemput, dan menerima ajaran Nabi Muhammad s.a.w
Ø Dalam peristiwa Perjanjian Aqabah 1 dan 2 mereka menyatakan kesanggupan menerima Islam dalam keadaan di mana orang-orang Makkah menentangnya dengan hebat.
Ø Mereka berikrar untuk berjuang bersama-sama Nabi dan menjemput Nabi meninggalkan Kota Makkah yang penuh penentangan untuk menuju Madinah.
Ø Mereka sanggup mengangkat baginda menjadi pemimpin mereka di Madinah kelak. Sesungguhnya perjanjian Aqabah 1 dan 2 merintis jalan kepada peristiwa Hijrah yang amat bersejarah.
Ø Mereka menjemput Nabi Muhammad ke Madinah dan kedatangan baginda bersama para sahabatnya telah disambut dengan begitu meriah sekali oleh golongan Ansar.
Peranan di Madinah
a. Membantu menyebarkan agama Islam
Ø Golongan Ansar juga bertanggungjawab membawa masuk dan menyebarkan Islam di Madinah. Proses ini bermula selepas peristiwa Perjanjian Aqabah 1 dan 2 pada tahun ke-11, 12 dan 13 Kerasulan.
Ø Nabi Muhammad telah melantik 12 Naqib (9 Khazraj dan 3 Aus) untuk membimbing umat Islam di Madinah bagi membantu menyebarkan agama Islam dengan lebih meluas di Madinah. Merekalah yang bertanggungjawab menyebarkan agama Islam dan menyampaikan berita tentang Nabi dan kaum Muslimin di Makkah kepada penduduk Madinah.
Ø Hasil usaha para naqib ( ketua ) yang gigih ini menyebabkan agama Islam cepat tersebar.
b. Membantu golongan Muhajirin
Ø Mereka sanggup menerima dan membantu golongan Muhajirin yang datang ke Madinah dari Makkah dalam keadaan sehelai sepinggang sahaja.
Ø Mereka menyumbang pelbagai bantuan sosio-ekonomi seperti menyediakan tempat tinggal, makanan, keselamatan, modal untuk berniaga malah ada yang sanggup menceraikan isterinya untuk golongan Muhajirin ini.
c. Menyumbangkan harta benda dan buah fikiran
Ø Sebagai penduduk tempatan mereka turut menyumbangkan harta benda dan buah fikiran dalam menjayakan perjuangan dan perkembangan Islam seperti semasa menghadapi peperangan .
Ø Golongan Ansar juga menyumbangkan nyawa dan harta benda mereka dalam menghadapi serangan musuh Islam dalam perang Badar, Uhud dan Khandak.
KESIMPULAN:( 1 Markah )
1. Kedua-dua golongan Ansar dan Muhajirin mempunyai peranan yang tersendiri dalam membantu mempertahankan dan mengembangkan Islam yang dibawa oleh Nabi Muhammad s.a.w.
2. Masing-masing mempunyai peranan yang berbeza yang menjadi gabungan yang mantap bagi memastikan kejayaan perjuangan Nabi Muhammad di Mekah dan Madinah.
Catatan : Markah maksimum untuk pendahuluan dan kesimpulan adalah 4 sama ada 3 – 1 @ 2 – 2 atau sebaliknya.

Comments

Popular posts from this blog

Bincangkan faktor-faktor campurtangan British di Perak dan Selangor

Bincangkan ciri-ciri masyarakat Zaman Pra sejarah Awal dan Pra sejarah Akhir

Bincangkan sistem sosial masyarakat tradisional di Thailand dan Vietnam sebelum campurtangan Barat .