Perjanjian Inggeris 1824


Pengenalan
Perjanjian Inggeris 1824 juga dikenali sebagai Perjanjian London 1824. Perjanjian ini ditandatangani untuk mengatasi masalah antara Inggeris dan Belanda yang mana hubungan keduanya sentiasa dalam keadaan tegang di samping adanya kepentingan-kepentingan mereka sendiri. Termeterainya perjanjian tersebut merupakan peristiwa paling penting dalam sejarah Tanah Melayu dan juga Indonesia.
 
Faktor-faktor membawa kepada perjanjian
1.         Persaingan perdagangan di Timur
Sejak kedatangan pihak Belanda dan British di Timur terutamanya di Asia Tenggara pada awal abad ke-17, kedua-dua ini sudah tidak mempunyai perhubungan baik. VOC yang bertapak di Betawi (1619) telah menjalinkan hubungan baik dengan raja-raja tempatan. Kemudian, Belanda berjaya meluaskan empayarnya ke Melak (1641). Pada ketika itu, SHTI sedang mencari pangkalan perdagangan dan pangkalan tentera di rantau Asia Tenggara.
Perselisihan sentiasa timbul atas dasar perdagangan yang diamalkan iaitu sikap Belanda yang menjalankan dasat ingin memonopoli perdagangan di Asia Tenggara; manakala orang Inggeris berpendapat semua bangsa mempunyai hak dan kebebasan untuk berdagang di rantau ini.
Hubungan yang buruk ini semakin meruncing kerana terdapat pegawai-pegawai Belanda yang bersifat anti-Inggeris. Contoh yang baik bagi pegawai Belanda yang bersifat anti-Inggeris ialah Jan Peterzoon Coen dan Van der Capellan, kedua-duanya ialah Gabenor Jeneral Betawi. Bagi pihak Inggeris pula yang bersifat anti-Belanda ialah John Jourdain.
Oleh sebab sifatnya yang anti-Inggeris menyebabkan Jan Peterzoon Coen menyerang orang Inggeris di Jakarta dengan tujuan menghalau mereka keluar dari Pulau Jawa (1619). Kota Jakarta telah dibakar hangus, lalu didirikan kota yang baru dan diberi nama “Betawi”. Keadaan menjadi semakin serius apabila berlaku peristiwa “Pembunuhan Beramai-ramai di Pulau Ambon” pada tahun 1623. dalam kejadian ini, beberapa orang Inggeris dan Portugis telah dihukum bunuh kerana ditubuh mengadakan komplot untuk menggulingkan pemerintah Belanda di Ambon.
Akibat dari kejadian ini, hubungan di antara mereka menjadi tegang dan pihak British hampir menutup hampir semua lojinya kecuali di Bangkahulu di selatan pantai barat Sumatera dan berundur dari Kepulauan Hindia Timur. Kegiatan perdagangan mereka kemudian bertumpu di India.
2.         Dasar persahabatan Inggeris-Belanda di Eropah
Bagi British persahabatannya dengan Belanda adalah penting dari segi “pertahanan/keselamatan”. Ini disebabkan kedudukan antara Negeri Belanda dengan British adalah berdekatan. Negeri Belanda ialah tempat yang paling sesuai untuk digunakan oleh pihak musuh sebagai tapak untuk menyerang British. Peristiwa ini telah pun terjadi pada tahun 1795, apabila Napoleon Bonaparte menggunakan negeri Belanda sebagai pusat gerakan tenteranya untuk menyerang British.

Dalam peristiwa ini, British sedar bahawa Belanda dapat menentukan masa depan Btitish. Oleh itu, pihak British benar-benar mengharapkan bantuan dan persahabatan dari Belanda untuk menentang musuh. Malahan, British terpaksa membantu Belanda menguatkan pasukan tenteranya supaya negeri itu dapat mempertahankan diri dari serangan musuh. Ini membuktikan bahawa British berharap agar Belanda menjadi barisan hadapan jika terjadi sebarang peperangan.
British juga sedar bahawa kedudukannya di Eropah mulai terancam. Ini disebabkan perhubungannya dengan negara-negara Barat yang lain telah pudar. Selepas Perang Napoleon (1795-1815), British terpencil dari rakan-rakan sekutunya yang pada satu ketika dahulu sama-sama menentang Napoleon. Prusia, Austria dan Rusia mulai mengasingkan diri dari England kerana perbezaan idea dan juga disebabkan perbezaan mazhab agama. Oleh itu, British mengharapkan Belanda dapat menjadi penyokongnnya di Eropah.
Keinginan British untuk berbaik-baik dengan Belanda jelas kelihatan dalam Konvensyen 1815 yang berlangsung selepas tamatnya Perang Napoleon. Inggeris telah bersetuju untuk menyerahkan Jawa pada tahun 1816 dan Melaka pada tahun 1818 kepada Belanda yang diperolehi melalui Surat-surat Kew 1795. Kerajaan British berbuat demikian sungguhpun mendapat tentangan hebat daripada SHTI memandangkan Pulau Jawa merupakan sebuah pelabuhan perdagangan yang berpotensi.
3.         Dasar-dasar Raffles di Singapura dan pertelingkahan mengenai Singapura
Stamford Raffles menentang keputusan pihak British yang hendak memulangkan Pulau Jawa kepada Belanda. Raffles berpendapat bahawa Pulau Jawa amat penting bagi strategi British sama ada dari segi perdagangan mahupun ketenteraan. Tambahan pula, Pulau Pinang yang dibuka pada tahun 1786 tidak lagi dapat berfungsi sebagai pusat perdagangan SHTI di rantau ini kerana kedudukannya yang jauh di utara dan di luar laluan perdagangan. Selain itu, Bengkahulu juga kurang strategik memandangkan kedudukannya di pantai barat Sumatera terpisah daripada laluan perdagangan di Selat Melaka.
Oleh itu, Raffles berhasrat membuka sebuah pelabuhan yang berkedudukan strategik untuk bersaing dengan pelabuhan Betawi dan menyekat pengaruh Belanda di Hindia Timur. Akhirnya, beliau telah berjaya membuka Singapura pada tahun 1819.
Tindakan Raffles menduduki Singapura dan membuat perjanjian dengan ketua-ketua di Singapura telah dibantah oleh Belanda. Pihak Belanda mendakwa bahawa Singapura adalah wilayah di bawah naungannya. Belanda mengatakan Raffles mencerobohi wilayah mereka dan mengugut akan menggunakan kekerasan sekiranya British enggan berundur dari Singapura. Dengan itu, masalah ini telah menimbulkan perang dingin antara British dan Belanda.
Bantahan juga dibuat oleh Gabenor Jeneral Betawi iaitu Baron Van der Capellan kepada Gabenor Jeneral India, iaitu Lord Hastings. Ini telah mencetuskan sati “peperangan kertas” di antara mereka antara tahun 1819 hingga 1824.

4.         Kemajuan Singapura
Gabenor Jeneral Lord Hastings menolak dakwaan Belanda memandangkan Singapura merupakan sebuah pelabuhan bertaraf bebas yang membawa keuntungan kepada pihak Inggeris. Dalam jangka masa setahun sahaja, nilai perdagangan melebihi $4 juta. Pada tahun 1823, nilai perdagangan Singapura bertambah kepada $13.2 juta. Selain itu, penduduk di Singapura juga meningkat kepada 10000 orang. Dalam keadaan ini, saudagar-saudagar SHTI di Calcutta mendesak petempatan Singapura dikekalkan.
Kemajuan pesat Singapura telah menjejaskan perdagangan Belanda di Hindia Timur. Perdagangan pelabuhan-pelabuhan Belanda di Hindia Timur seperti Betawi mulai mengalami kemerosotan. Untuk mengelakkan pertempuran yang terbuka, pihak British mengambil langkah untuk berunding dengan Belanda.

5.         Masalah kewangan Belanda
Negara Belanda menghadapi krisis kewangan yang amat teruk akibat daripada Perang Napoleon. Belanda telah kehilangan perusahaan perkapalan dan perdagangannya yang diambil alih oleh Britain. Kini VOC hampir dengan garis kebankrapan. Untuk mengelakkannya daripada berlaku, VOC telah berhutang kepada pihak British.
Bantuan dan pinjaman telah diberikan oleh British. Menurut J.S. Furnival, hutang Belanda pada tahun 1815 ialah 600 juta Florin dimana hutang terhadap British adalah sebanyak £144 juta.
Apabila VOC dibubarkan pada tahun 1799, Kerajaan Belanda bertanggungjawab memikul beban hutang yang ditinggalkannya. Untuk menyelesaikan masalah hutang piutang ini, Belanda telah mengambil langkah untuk berunding dengan British bagi mencapai suatu persefahaman melalui perjanjian selain mengelakkan pertempuran daripada berlaku.
 

Syarat-syarat Perjanjian
Perjanjian Inggeris-Belanda telah ditandatangani pada 17 Mac 1824 di London. Pihak British diwakili oleh George Canning dan pihak Belanda pula diwakili oleh Charles W. Wymn. Kandungan perjanjiannya ialah:
1.         Syarat-syarat kewilayahan
a.         Belanda menarik balik bantahannya terhadap pendudukan British di Singapura. British bersetuju tidak membuat sebarang pelabuhan di Pulau-pulai Karimon, Bantam, Bintang, Lingga atau di pulau-pulau yang terletak di selatan Selat Singapura. British juga bersetuju tidak akan membuat perjanjian dengan ketua-ketua di pulau-pulau tersebut.
b.         British menarik semula bantahannya terhadap pendudukan Belanda di Pulau Belitong dan lain-lain kawasan.
c.         Bandar dan pelabuhan Melaka serta tanah jajahannya diserahkan kepada British. Belanda bersetuju tidak akan membuat sebarang perjanjian atau pelabuhan di kawasan tersebut.
d.         Bangkahulu di Sumatera diserahkan kepada Belanda. British bersetuju tidak akan membuat tempat persinggahan atau perjanjian dengan ketua-ketua di Sumatera.
e.         Belanda menyerahkan semua lojinya di India serta hak istimewanya yang ada kepada British. Belanda juga akan membayar sebanyak £100000 kepada Britsh sebagai penyelesaian hutang-piutangnya.
f.           Wilayah-wilayah tersebut tidak boleh diberikan kepada kuasa-kuasa lain. Jika salah satu kuasa itu meninggalkannya, wilayah itu mestilah diserahkan kepada kuasa yang satu lagi.
g.         Semua penduduk di wilayah jajahan yang telah ditukarkan diberi tempoh selama 6 bulan untuk menguruskan harta mereka sekiranya mereka hendak berpindah ke negeri-negeri yang mereka pilih.
h.         Perpindahan hak-hak kedua-dua pihak hendaklah mula dijalankan pada 1 Mac 1825.
2.         Syarat-syarat perdagangan
a.         Kedua-dua pihak bersetuju membenarkan saudagar mereka menjalankan perniagaan di Kepulauan Timur, India dan Ceylon dengan hak masing-masing. Kedua-dua pihak hendaklah mengikuti peraturan-peraturan perdagangan di tiap-tiap kawasan.
b.         Rakyat dari satu negeri mestilah membayar cukai tidak lebih daripada bayaran yang dikenakan kepada rakyat dari negeri yang mempunyai pelabuhan.
c.         Kedua-dua pihak mestilah mengarahkan rakyat, pihak yang berkuasa tentera dan awam supaya menghormati kebebasan perdagangan.
d.         Kedua-dua pihak mestilah menghapuskan lanun-lanun di laut sebelah timur dan jangan membenarkan lanun-lanun menjual barang-barang dagangan mereka di kawasan atau daerah kepunyaan mereka.
e.         Pelabuhan-pelabuhan yang baru tidak dibenarkan ditubuhkan di Kepulauan Timur tanpa mendapat pengesahan terlebih dahulu dari kerajaan mereka di Eropah.
f.           British mengakui monopoli Belanda terhadap perdagangan rempah di Kepulauan Maluku.

 
Kesan-kesan Perjanjian
1.         Pembahagian Kepulauan Melayu kepada 2 lingkungan pengaruh
Kesan yang nyata hasil daripada perjanjian ini ialah terbentuknya 2 kawasan pengaruh. Belanda ingin menguasai kawasan-kawasan meliputi Pulau Jawa, Sulawesi atau dengan kata-kata lain semua gugusan Kepulauan Melayu ke selatan Selat Singapura; manakala British menguasai kawasan-kawasan yang meliputi Singapura, Melaka dan daerah-daerah lain di Tanah Melayu. Perjanjian ini merupakan satu titik peralihan dalam perkembangan politik di Kepulauan Melayu. British dan Belanda kini dapat meluaskan pengaruh perdagangan dan politik mereka di kawasan masing-masing tanpa gangguan daripada pihak lain.
2.         Perpecahan Empayar Johor
Dengan pembahagian 2 kawasan pengaruh itu, secara tidak langsung telah membawa kepada runtuhnya Empayar Johor. Kini Singapura dan Tanah Besar Johor dikuasai oleh British dan Riau-Lingga jatuh ke bawah pengaruh Belanda. Perjanjian ini juga menyelesaikan masalah perebutan takhta Johor kerana Sultan Hussein menjadi sultan yang sah di Tanah Besar Johor dan Sultan Abdul Rahman menjadi sultan di Kepulauan Riau-Lingga. Bendahara Ali di Pahang juga mengambil kesempatan untuk cuba membebaskan diri dari kekuasaan Johor. Pada tahun 1853, Bendahara Ali telah mengisytiharkan kemerdekaan Pahang dan Empayar Johor dikatakan runtuh sejak saat ini.
3.         Perhubungan Inggeris-Belanda di Timur
Perhubungan mereka masih tegang. Rasa benci orang Inggeris terhadap Belanda disuarakan dalam laporan-laporan pegawai-pegawai Negeri-negeri Selat dan dalam akhbar-akhbar Singapura. Persaingan perdagangan terus menjadi sengit. British menuduh Belanda melanggar syarat-syarat perjanjian, tetapi, British terpaksa menelan hakikat ini dan terus memberi bantuan kepada Belanda dan memastikan bahawa Belanda benar-benar menjadi sekutu yang dapat mengimbangkan kekuatan British terutama di Eropah.
4.         Pertelingkahan mengenai Borneo
Perbalahan antara pihak British dan Belanda di Kepulauan Melayu tersetus akibat salah faham terhadap syarat-syarat kewilayahan. Perbalahan mengenai syarat “sebarang pulau lain ke selatan Singapura” tercetus apabila Sultan Brunei menyerahkan Labuan kepada pihak British pada tahun 1846. Belanda menganggap bahawa Labuan terletak di selatan Selat Singapura dan berada di lingkungan pengaruhnya. Walau bagaimanapun, masalah ini dapat diselesaikan apabila pihak British dapat membuktikan kedudukan geografi Labuan yang sebenarnya.
5.         Pelanunan
Belanda tidak mematuhi sepenuhnya syarat yang berkenaan dengan penghapusan lanun di perairan Kepulauan Melayu. Pihak Belanda hanya mengambil tindakan terhadap kegiatan pelanunan di kawasan perairan di bawah pengaruhnya iaitu Kepulauan Hindia Timur. Akibatnya, British terpaksa mengambil langkah-langkah sendiri untuk menghapuskan pelanunan dan ini memakan masa serta menelan banyak perbelanjaan.

Comments

Popular posts from this blog

Bincangkan faktor-faktor campurtangan British di Perak dan Selangor

Bincangkan ciri-ciri masyarakat Zaman Pra sejarah Awal dan Pra sejarah Akhir

Bincangkan sistem sosial masyarakat tradisional di Thailand dan Vietnam sebelum campurtangan Barat .