KONSEP MANUSIA MENGIKUT AL-QURAN


KONSEP MANUSIA MENGIKUT AL-QURAN
Perkataan manusia dalam Bahasa Melayu adalah menyamai istilah yang disebutkan dalam al-Quran, iaitu al-Ins, al-Insan, al-Nas dan al-Basyar. Nama-nama ini adalah merujuk kepada manusia yang telah diamanahkan oleh Allah untuk menjadi khalifah di atas muka bumi ini. Dengan kata lain, manusia adalah pemerintah, pemilik dan pengguna bagi semua kejadian sama ada di darat, di laut atau di udara. Sejak abad ke-4 M, orang-orang Barat begitu terpengaruh dengan teori evolusi yang menyebutkan bahawa manusia berasal daripada beruk. Teori ini mula diperkenalkan oleh beberapa orang ahli falsafah Greek termasuklah Aristotle, Anazimander dan Epidocles. Namun demikian, teori ini dipertikaikan oleh saujana sains Islam dan juga Barat. Mereka menganggap ia bukanlah suatu kajian yang bersifat fakta sebaliknya merupakan satu ideologi sahaja.
Manusia Menurut al-Quran
Manusia menurut al-Quran adalah makhluk yang dikurniakan akal, roh, dan jasad. Ia adalah sebaik-baik kejadian berbanding dengan malaikat dan binatang. Malaikat hanyalah dikurniakan akal tetapi tidak dikurniakan nafsu sedangkan binatang hanya dikurniakan nafsu tanpa akal. Sungguhpun begitu kedudukan manusia akan menjadi lebih rendah daripada binatang jika mereka gagal menggunakan akal dengan baik sebaliknya menjadi hamba kepada nafsu. Menurut al-Quran, semua manusia adalah berasal dari keturunan Nabi Adam dan Adam pula dijadikan daripada tanah. Oleh itu, kaedah mantik atau logik manusia juga berasal daripada tanah. Kebanyakan ulama tafsir berpendapat proses pembentukan bayi dalam kandungan juga bermula dari saripati tanah atau disebut sebagai nutfah di dalam al-Quran. Pendapat ini ternyata benar kerana semua sumber makanan dan minuman adalah berpunca daripada tanah. Berdasarkan kenyataan ini, jelaslah menunjukkan bahawa konsep manusia menurut Islam adalah berbeza dengan pandangan yang pernah dikemukakan oleh para pengkaji antropologi.
Fungsi Manusia Menurut al-Quran
Beribadat kepada Allah
Menurut al-Quran, manusia berfungsi dan berperanan tersendiri. Fungsi utama manusia dicipta ialah untuk beribadat kepada Allah. Sehubungan dengan itu, Islam telah menggariskan beberapa jenis ibadat yang perlu dilaksanakan oleh manusia sama ada dalam bentuk fardu ain atau fardu kifayah. Ibadat fardu ain ialah ibadat yang perlu dilakukan oleh setiap individu yang menepati syarat- syarat yang telah ditentukan, contohnya sembahyang, puasa, zakat, haji dan lain-lain. Ibadat fardu kifayah pula ialah ibadat yang jika dilakukan oleh individu atau kumpulan tertentu, maka individu dan kumpulan yang lain tidak wajib lagi melakukannya, contohnya melakukan sembahyang jenazah, berniaga, mengajar dan sebagainya.
Memelihara Alam
Selain itu, manusia juga berperanan untuk memelihara alam ini dengan sebaik-baiknya. Allah telah mencipta alam ini untuk kepentingan manusia seluruhnya. Oleh itu, manusia boleh menggunakan ciptaan ini untuk meneruskan kehidupan mereka di dunia. Sungguhpun begitu, manusia perlu menunaikan tanggungjawab yang telah diamanahkan oleh Allah dengan menggunakan ciptaan tersebut hanya untuk perkara-perkara yang boleh membawa kepada kebaikan sahaja. Mereka tidat boleh melakukan kerosakan di muka bumi ini sehingga membawa keburukan kepada manusia atau makhluk lain termasuklah binatang.
Mengenali di Antara Satu Sama Lain
Manusia juga perlu berbaik-baik di antara satu sama lain tanpa mengira bangsa, agama dan keturunan. Allah mencipta manusia dengan pelbagai puak supaya mereka dapat mengenali di antara satu sama lain. Mereka tidak boleh berbangga diri, sombong dan takbur. Sebaliknya mereka hendaklah sentiasa berbaik-baik dan bersatu-padu di dalam menghadapi sebarang masalah. Perbezaan agama juga tidak boleh dijadikan alasan untuk manusia bermusuhan. Islam hanya membenarkan penganutnya memusuhi orang bukan Islam sekiranya mereka dengan jelas menunjukkan penentangan atau cuba membahayakan orang-orang Islam. Dalam keadaan biasa hubungan baik perlu dikekalkan di antara mereka.
Memakmurkan Muka Bumi
Selain dari memelihara alam ini manusia juga berfungsi untuk memakmurkan muka bumi ini supaya mereka dapat menjalani kehidupan dengan lebih baik. Akal dan pancaidera yang dianugerahkan kepada manusia hendaklah digunakan untuk meneliti dan berfikir bagi memanfaatkan semua ciptaan yang sedia ada. Banyak rahsia kejadian Allah yang boleh disingkap oleh manusia dengan menggunakan akal yang ada. Di sebalik kejadian tumbuh-tumbuhan misalnya terdapat pelbagai jenis penawar, di dasar lautan juga terdapat pelbagai khazanah, begitu juga di dalam perut bumi. Hanya manusia yang menggunakan akal dengan sepenuhnya akan dapat menikmati semua ini. Selain untuk dirinya ia juga dapat memberi faedah kepada orang lain.
Mentauhidkan Allah
Manusia yang perlu mentauhidkan Allah, dalam konteks ini manusia ditegah sekeras-kerasnya melakukan sebarang bentuk perbuatan yang boleh membawa kepada syirik atau menyekutukan Allah. Syirik adalah dosa besar yang tidak akan diampunkan oleh Allah melainkan dengan taubat yang bersungguh-sungguh. Bagi mengelakkan berlakunya syirik, manusia perlu mengenali Allah. Manusia boleh mengenali Allah melalui sifat-sifat-Nya. Terdapat 20 sifat yang wajib diketahui oleh manusia.
Mentadbir / Menjadi Khalifah di Muka Bumi
Fungsi manusia yang seterusnya ialah mentadbir atau menjadi khalifah di muka bumi ini. Fungsi ini sesuai dengan kedudukan manusia sebagai makhluk yang terbaik. Manusia hendaklah sentiasa bersikap adil sama ada terhadap dirinya sendiri atau orang lain. Manusia hendaklah memastikan tidak berlaku kemungkaran di muka bumi sebaliknya hendaklah memastikan berlakunya kebaikan. Hal ini sesuai dengan tugas yang diamanahkan oleh Allah iaitu Amar Makruf dan Nahi Mungkar (menyeru kepada kebaikan dan mencegah kemungkaran).
Kesimpulan
Berdasarkan huraian di atas, jelas menunjukkan bahawa manusia mempunyai tanggungjawab yang sangat besar. Sekiranya manusia berjaya melaksanakan tanggungjawab tersebut sepenuhnya maka mereka akan dapat menikmati hidup ini dengan penuh kebahagiaan. Jika sebaliknya yang berlaku maka kemusnahan dan huru-hara pasti tidak dapat dielakkan.

Comments

Popular posts from this blog

Bincangkan faktor-faktor campurtangan British di Perak dan Selangor

Bincangkan ciri-ciri masyarakat Zaman Pra sejarah Awal dan Pra sejarah Akhir

Bincangkan sistem sosial masyarakat tradisional di Thailand dan Vietnam sebelum campurtangan Barat .