Bincangkan Sejarah Dan Peranan Baitulmal Dalam Perkembangan Ekonomi Islam


A.   PENDAHULUAN.

  1. Institusi Baitulmal tidak berfungsi dengan aktif pada zaman awal kerajaan Islam, kerana perkembangan dan penaklukan Islam belum luas lagi dan sumber hasil pendapatan negara tidak banyak dan tidak memerlukan penubuhan sebuah badan khusus secara formal untuk menguruskannya.

  1. Pada zaman Rasulullah s.a.w hasil pendapatan negara tidak banyak. Sumber pendapatan yang diperolehi hanya merupakan rampasan perang atau yang didapati melalui perjanjian damai. Hasil pendapatan ini dibahagikan segera kepada mereka yang berhak menerimanya.

  1. Harta zakat yang dipungut dari para hartawan dan usahawan juga dibahagikan secara segera kepada lapan asnaf ( orang – orang yang berhak menerima zakat )

  1. Kedudukan belanjawan negara pada masa itu seimbang. Ini bererti semua perbelanjaan negara adalah diseimbangkan dengan hasil pendapatannya. Justeru kerana itu, persoalan pengawalan lebihan harta melalui penubuhan Baitul Mal secara formal tidak timbul sama sekali. Ini juga bererti pengurusan harta adalah sesuai dan tidak susah pengurusannya.

  1. Pengurusan hasil negara pada zaman pemerintahan Khalifah Abu Bakar al – Siddiq juga mudah dan terkawal dan Baitulmal juga tidak perlu ditubuhkan secara formal, tidak seperti pada zaman pemerintahan Khalifah Umar Al – Khattab. Sehubungan itu Khalifah Umar Al – Khattab adalah orang yang pertama menubuhkan Baitul Mal secara formal.

  1. Sumber – sumber hasil pendapatan Baitulmal adalah sebagaimana berikut:

a.    Segala harta yang didapati melalui zakat, seperti zakat harta dan zakat fitrah.
b.    Segala harta hak milik negara, termasuk semua sumber kekayaannya.
c.    Semua harta hak milik umat islam yang tidak jelas penggunaannyaseperti wakaf, sedekah dan lain – lain.
d.    Segala harta yang didapati dari peperangan, seperti ghanimmah, Jizyah dan lain – lain.
e.    Harta yang lain dari yang tersebut seperti pusaka, luqatah dan lain – lain.
f.     Saham yang dijual melalui institusi yang ditubuhkan oleh Baitul Mal.

Dengan ini jelaslah bahawa Baitul Mal adalah perbendaharaan negara Islam, yang berfungsi sebagai pengerak kepada pembangunan institusi ibadat dan pembangunan material sesebuah negara Islam keseluruhannya.

B.   ISI – ISI PENTING.

  1. Penubuhan Baitulmal secara rasmi ialah pada masa Umar Al – Khattab menjadi Khalifah pada tahun 13 Hijrah. Pada masa ini agama Islam berkembang pesat dan pemerintahannya mendapat harta yang banyak hasil dari rampasan perang dan juga penaklukan daerah – daerah yang luas. Hasil negara yang banyak dari daerah taklukan yang luas ini memerlukan pengurusan yang cekap dan tersusun rapi, supaya setiap perbelanjaan yang dilakukan tidak membazir dan mengikut apa yang ditentukan oleh undang –undang Islam. Sehubungan dengan itu, Khalid bin Al – Walid mencadangkan agar Khalifah Umar menubuhkan satu institusi kewangan negara bagi menguruskan harta negara. Pada peringkat awalnya perbendaharaan negara ini dikenali dengan Diwan atau Khazanah dan akhirnya diberi nama “Baitulmal”

  1. Khalifah Umar bin Al – Khattab telah melantik ‘Uqail bin Abu Talib, Makhramah bin Naufal dan Jubair bin Mu’tam untuk mengendalikan Baitulmal.

  1. Kota Madinah dijadikan pusat pentadbiran Baitulmal. Institusi Baitulmal ini kemudiannya ditubuhkan di setiap wilayah Islam, sebagai cawangan Baitulmal yang berpusat di Madinah. Di setiap cawangan Baitulmal ini dilantik pegawai –pegawai Baitulmal yang menjalankan tugasnya di bawah pentadbiran Baitulmal Pusat.

  1. Dengan penubuhan institusi Baitulmal ini, Khalifah Umar telah mengasaskan penyelarasan pentadbiran kewangan negara dan penggunaan harta awam yang bersesuaian dengan perkembangan pentadbiran, sosial, ekonomi dan politik negara pada masa itu. Bermula pada masa itu, Baitulmal sebagai wakil yang menjalankan pengurusan harta dan membelanjakannya untuk kepentingan rakyat dan negara bersesuaian dengan kehendak undang – undang Islam. Keadaan sedemikian terus beroperasi sehingga akhir pemerintahan al – Khulafa’ al – Rashidin.

  1. Pada zaman pemerintahan Umaiyyah ( 41 – 132 H ), Institusi Baitulmal berkembang dengan pesatnya. Hasil negara terpenting pada masa itu ialah Kharaj. Ini berlaku kerana tanah jajahan takluk Islam telah meluas sehingga ke Afrika, Rom, Constantinopel (Istanbul). Ini telah memperbanyakkan hasil kekayaan negara, termasuk kawasan – kawasan pertanian yang banyak yang telah menyumbangkan sumber pendapatan negara yang utama, di samping jizyah, ghanimah, fai’ dan zakat.

Pertambahan hasil ini juga disebabkan oleh usaha – usaha pemerintah memperluas dan memperbaiki sistem pengairan dan pertanian lagi menambahkan lagi pendapatan negara khasnya melalui sistem pertanian secara percukaian Kharaj sehingga mencapai pertambahan ke angka melebihi 221 juta dirham setahun. Tetapi selepas pemerintahan Umar bin Abdul Aziz penyelanggaraan Baitulmal tidak begitu cekap lagi dan hasil pendapatannya semakin berkurangan.

  1. Pada zaman pemerintahan Abbasiyyah, para pemerintahannya menyusun semula pentadbiran ekonominya dan bermulalah pula satu zaman kemewahan umat Islam. Pentadbiran Baitulmalnya adalah seperti berikut:

a.    Pada zaman al – Mansur (136H ) hasil kekayaan negara adalah banyak sekali sehingga mencapai jumlah 810 juta dirham tersimpan di dalam khazanah Baitulmal.

b.    Pada zaman pemerintahan al – Mahadi ( 170H ) beberapa peraturan baru dibuat dan dikuatkuasakan. Pemerintahan telah menubuhkan Jabatan Akauntan Negara ( al – Zimam ) dengan tujuan untuk mengawal setiap jabatan berhubung dengan hasil pungutan dan perbelanjaannya.

c.    Pada masa pemerintahan Harun al – Rashid ( 170H ) hasil negara terus meningkat. Menurut al – Tabari, pada masa Harun al – rashid meninggal dunia, harta Baitulmal telah mencapai 900 juta dirham. Pencapaian hasil negara yang cemerlang ini adalah disebabkan sistem pentadbiran ekonomi yang cekap, berkesan dan beramanah.

Selepas pemerintahan Abbasiyah awal mencapai tahap kegemilangan di dalam bidang ekonomi ini, Baitulmal menghadapi zaman kegelapannya setelah perebutan kuasa politik berlaku antara Al – Ma’mun dan Al – Amin. Keadaan ini terus berlarutan walaupun al – Ma’mun berjaya menjadi khalifah, situasi Baitulmal semakin merosot hinggalah Baghdad diserang oleh orang Tartar pada tahun 656H/1258 Masihi.

  1. Selepas berlakunya Perang Salib ( 1096 – 1250 M ), negara – negara Islam mula ditakluki oleh negara – negara Barat. Dengan penaklukan Barat ke atas negara – negara Islam ini, institusi Baitulmal tidak lagi beroperasi dan berfungsi sebagaimana yang dikehendaki oleh syariah Islam.

C.   PERANAN DAN SUMBANGAN BAITULMAL.

  1. Institusi Baitulmal ini diurustadbir oleh pemerintah Islam yang bertanggungjawab secara langsung menentukan sumber pendapatan negara dan mengagihkannya secara adil kepada mereka yang berhak dan untuk pembangunan negara secara keseluruhannya. Khalifah juga bertanggungjawab melantik pegawai – pegawai yang adil dan amanah untuk mengendalikan pengurusan Baitulmal di peringkat pusat, cawangan atau wilayah. Khalifah juga berhak menerima khidmat nasihat daripada Majlis Syura untuk menjamin Institusi Baitulmal boleh menambahkan lagi pendapatan negara dan perbelanjaannya.

  1. Matlamat penubuhan Baitulmal ialah untuk memberikan kemakmuran kepada umat Islam dan ia adalah satu lambang penyertaan setiap individu yang berada dengan mengeluarkan zakat, sedekah, wakaf dan sebagainya untuk mengatasi masalah kemiskinan mereka yang tidak bernasib baik.

  1. Harta yang ada dalam Baitulmal hendaklah sentiasa mengalir sama ada diagihkan kepada lapan asnaf ( mereka yang berhak menerima zakat ) atau untuk membina infrastruktur dan pelaburan di dalam aktiviti – aktiviti sosial, perdagangan dan perindustrian.

  1. Membayar gaji pegawai – pegawai dan pekerja.

  1. Membuka tanah dan mengeluarkan bahan mentah.

  1. Meningkatkan pendapatan umat Islam melalui pinjaman.

  1. Memberikan bantuan & biasiswa kepada pelajar – pelajar.

D.   PENUTUP:

Apa – apa sahaja yang berkaitan.

Comments

Unknown said…
apakah bukti yg menunjukkan islam menitik beratkan saksi atau bukti bagi setiap aliran masuk dan keluar perbelanjaan dan hasil negara
#Baitulmal
kewangan islamic student

Popular posts from this blog

Bincangkan faktor-faktor campurtangan British di Perak dan Selangor

Bincangkan ciri-ciri masyarakat Zaman Pra sejarah Awal dan Pra sejarah Akhir

TERANGKAN CIRI-CIRI PEMBANDARAN TAMADUN ROM